Friday, 22 November 2013

Ketika kita...

Ketika kita mengeluh kepenatan:
Allah berpesan:
"Dan KAMI jadikan tidurmu untuk istirehat" (78:9)

Ketika kita merintih akan beratnya dugaan:
Allah menegur:
"AKU tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupan" (2:286)

Ketika kita gundah dalam kesibukan:
Allah menjawab:
"Hanya dengan mengingatiKu, hati akan menjadi tenang" (13:28)

Ketika kita rasa usaha yang dilakukan hanya sia-sia:
Allah berfirman:
"Siapa yang mengerjakan kebaikan walaupun sebesar zarah, nescaya ia akan dapat balasannya" (99:7)

Ketika kita mengomel tiada insan yang sudi menghulurkan bantuan:
Allah menasihati:
"Berdoalah (mintalah) kepadaKu, nescaya AKU kabulkan untukmu" (40:60)

Ketika kita tidak mampu menanggung kesedihan:
Allah mengingatkan:
"Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita" (9:40)

Sesungguhnya susur kehidupan ini tidak pernah sunyi dengan pancaroba dan halilintar dari dulu, sekarang atau akan datang.
Sewaktu kecil kita mempersoalkan:
"Kenapalah aku tak besar-besar lagi? Mesti seronok bila dah besar nanti sebab boleh buat apa sahaja. Tak perlu ikut telunjuk orang lain lagi,".
Bila alam dewasa terhidang di hadapan mata, kita berkata:
"Seronoknya jadi kanak-kanak. Tak perlu fikir apa-apa masalah. Asyik main sahaja dari pagi sampai malam,".
Seeloknya letakkan rasa syukur di takhta yang paling atas dalam hati kita. Hadapi dan hargailah masa yang ada kerana zaman lampau hanya tinggal dalam lipatan nostalgia untuk dijadikan rempah ratus mencorak rasa masa hadapan.


Sunday, 10 November 2013

Kita Kehilangan

Termangu aku seketika. Berita itu mampu menggugat kekuatan dan menumpahkan airmata sesiapa sahaja. Beliau pergi setelah membekalkan Islam dalam media. Almarhum Datuk Bukhari Che Muda yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TVAlhijrah menemui Ilahi yang mengasihinya lebih kurang 6.00 pagi tadi disebabkan barah. Al-FAtihah.
Moga legasi yang ditinggalkan beliau mampu bertapak kukuh selepas ini.

Hebat Tawakalnya

Puas ku meneroka, menjala dan mencanggul ilham disetiap penjuru minda tapi masih sukar untuk kutemui. Bertalu-talu doa ku pohon pada-Nya moga urusanku dipermudahkan. Alhamdulillah, dalam kekalutan mengulangkaji pelajaran untuk menempuhi peperiksaan masih ada suku kata-suku kata yang merudum jatuh di fikiran untuk dijadikan coretan entri kali ini.

Mungkin kupasan topik pada entri kali ini agak ganjil tetapi saya amat tertarik untuk berkongsi maklumat mengenai pertumbuhan janin sewaktu di dalam kandungan seorang ibu yang pernah saya pelajari di matrikulasi dahulu. Proses ini amat berkait rapat dengan proses kehamilan yang bermula selepas persenyawaan berlaku antara sperma dan ovum hinggalah bayi tersebut menjengah jendela dunia. Siri pematangan bagi bayi atau dalam bahasa inggerisnya dipanggil "human gestation" terbahagi kepada tiga trimester dan bagi setiap satu trimester bersamaan tiga bulan.

Bermula dengan trimester pertama iaitu seawal proses persenyawaan hingga minggu ke-12 berlakunya proses implantasi oleh zigot atau penempelan sel yang terbentuk daripada percantuman ovum dan sperma pada dinding rahim si ibu. Lalu, dengan kuasa Allah, zigot tadi membentuk janin atau embrio yang terletak kukuh dalam kantung plasenta yang diperlukan oleh janin untuk mendapatkan nutrien, produk metabolisma, juga hormon dari ibunya. Sewaktu fasa ini, organogenesis atau proses pembentukan organ mula terlihat perlaksanaannya kerana pada bulan ketiga, buah pinggang dan beberapa anggota mula membangun. Tulang pula mula menggantikan tempat rangka tulang rawan dan limpa menyertai sistem penghasilan sel darah merah diikuti hati yang berfungsi sedikit demi sedikit. Masa trimester inilah bakal-bakal nenek akan sibuk mengesyorkan pelbagai amalan untuk ibu baru amalkan sepanjang 9 bulan dan 10 hari yang mendatang.

trimester pertama


Melangkah pada trimester seterusnya, janin yang pada asalnya dipanggil "embrio" menjadi "fetus" dan berukuran lebih kurang 6 cm pada minggu ke-14. Plasenta tidak lagi merembeskan hormon hCG (human chorionic gonadotropin) yang berfungsi untuk menyelenggara luteum korpus bagi menghasilkan hormon progesteron. Malah, plasenta sendiri yang mengambil alih tugas luteum korpus pada trimester ini. Detik dan waktu ini, para ibu tidak perlu lagi tertanya-tanya akan jantina anak mereka kerana organ yang menggambarkannya telah terbentuk pada minggu ke 13 hingga 16. Selonggok persoalan akan terjawab ketika ini tatkala pergerakan janin dapat dirasai, degupan jantungnya mampu dijejaki dengan stetoskop dan dia sudah bisa mendengar. Pada minggu ke-20, anggotanya hampir sempurna dengan bentuk wajah yang dapat dikenali, mata, hidung, dan telinga yang normal, pemanjangan kaki juga tangan serta rambut badan yang halus. Tetapi maklumat yang paling mengujakan saya ialah janin pada fasa ini pintar membuat ekspresi muka tamsilannya kerutan dan jelingan. Hebatnya ciptaan Allah.

trimester kedua


Apabila singgah di minggu ke-24 atau trimester terakhir, fasa pertumbuhan semakin cepat. Malahan, pergerakan janin mula berkurangan kerana ruang rahim semakin sempit di samping sistem peredaran darah juga pernafasannya sudah berfungsi. Janin tersebut makan, tidur dengan aturan, memejam dan mencelikkan mata serta menghisap jari kecilnya sebelum menempuh detik dilahirkan. Proses imbasan akan dilaksanakan oleh doktor untuk mengetahui keadaan kandungan seperti duduk letaknya plasenta, status bayi kembar, kedudukan yang songsang atau tidak, dan termasuk juga tahap degupan jantung. Ibu hamil hanya menunggu saat indah menyambut kehadiran ahli baru.

trimester ketiga


Segala puji bagi Allah. Sangat menginsafkan saya jika diteliti betapa teguhnya tawakal seorang bayi sebelum dilahirkan. Sesungguhnya janin itu hanya dilindungi selaput yang mengandungi cairan selama 9 bulan 10 hari. Hanya pada Allah dia serahkan untung rugi nasibnya kerana dia tidak mampu bergerak lebih dari yang sepatutnya. Akan gugur, songsang, sumbing, sihat sempurna atau cacat? Segalanya aturan Allah. Mampukah kita bertawakal sehebat itu kini walaupun suatu masa dahulu kita pernah menetap di tempat yang sama?

perpezaan saiz kandungan

Evolusi bayi



Sesungguhnya Allah S.W.T telah menjelaskan proses tersebut melalui firman-Nya dalam surah al-Mukminun ayat 12-14. Mafhumnya:
        "Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dari zat tanah (iaitu makanan yang terhasil dari bahan-bahan hasil bumi). Kemudian Kami jadikan dari zat itu air benih (mani) di dalam tempat yang kuat dan utuh (rahim ibu). Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, maka Kami jadikan pula daging itu menjadi tulang, lepas itu Kami balutkan tulang-tulang tersebut dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebagai sebaik-baik Pencipta."

Monday, 4 November 2013

Transformasi mahasiswa

Sinar matahari pada Khamis yang lalu mengizinkan kami menjelajah ilmu di Kota Damansara. 'Chocolate Museum and Shop' menjadi medium dalam proses pembelajaran untuk kami mengimbau kenangan atau nostalgia zaman kanak-kanak yang telah lama ditinggalkan. Sesampainya kami di pintu masuk muzium tersebut, terbayang olehku akan transformasi mahasiswa kepada pelajar sekolah tadika. Pancaran riak keterujaan tidak dapat disembunyikan lagi terutamanya apabila kami mendapat peluang untuk membeli pelbagai jenis coklat buatan tempatan mahupun luar negara. Gambar yang diambil di setiap sudut muzium dengan berbagai aksi juga penerangan dari En.Muiz mengenai proses pendebungaan atau 'pollination' dan fakta nutrisi coklat memberikan sedikit ilham buatku. Setelah hampir dua jam kami disajikan dengan info-info berkaitan coklat, tibalah masa untuk kami kembali ke UKM. Tidak ku sangka, apa yang ku bayangkan tertera di hadapan mata. Pelajar SKBB Pulau Pinang dan pelajar Sekolah Pasti As-Solihin memeriahkan suasana di muzium itu. Telatah mereka mencuit hatiku. Ada yang melompat dan tidak kurang juga yang berlari. Aku pasti, jika aku masih berada pada tahap umur mereka, aku juga begitu. Indahnya kehidupan mereka.


 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI