Thursday 26 September 2013

budi dipalit noda

Senyum kuhulur, jelingan yang kau hadiahkan. Bahasa kutadah, keji yang kau ludah. Masih belum cukupkah budiku buatmu? Adakah kau mahu ku sanjung dan ku junjung di puncak takhta?
Manusia... Walau siapapun kita, setinggi mana pun jawatan kita, walau berbukit menara wang ringgit kita, kita tetap sama di sisi Allah. Kita hanya akan menjadi pelangi di celahan awan jika iman di dada teguh dan padu. Usahlah dibangga dengan warna dunia yang hanya indah di mata si buta, hakikatnya ia kelam bagi si celik laksana.
Kita laungkan kalimat "Budi Bahasa Budaya Kita" dan "Bahasa Jiwa Bangsa" dengan semangat yang berkobar-kobar. Tetapi, semangat itu hanya di pentas lakon teater, hanya ukiran poster, semangat tanpa hadirnya roh. Entah kapan ia akan dicoret menjadi realiti.






Wednesday 25 September 2013

patriotisme

Sajak ini saya deklamasikan di A Famosa Resort, Melaka sewaktu menyertai Kursus Tunas Warisan pada 12 hingga 14 September 2013. Masih belum ditemui tajuk yang sesuai untuk hasil karya saya yang satu ini. Terimalah...

Aku...
Siapa aku?
Aku bukan pejuang negara
Bukan peluru rakyat
Bukan juga penggempur komunis...

Tapi...
Aku tali kemerdekaan
Tali kemerdekaan
Tali kemerdekaan
Daulatnya tanah pertiwi terikat utuh padaku

Tanpa aku,
Tanpa kesetiaan aku
Malaysia jatuh

Akulah generasi Y!!!
Jiwaku kental pertahankan negara
Demimu Malaysia
Relaku gugur menyembah bumi




Tuesday 24 September 2013

telunjuk

Di mana terselitnya erti secebis kehidupan andai kewujudan itu dinafikan? Salah siapakah tika janin yang terbentuk menjadi bayi suci bukan seperti yang diigaukan? Sebelum aku mengenal kalian seeratnya, sebelum aku mampu bertatih sendiri, sebelum aku mampu membela diri, mengapa aku disisih?
Ke mana telunjuk kalian tertuding? Ingatlah, bukan ke arah Pencipta kompas telunjuk kalian perlu terhulur.

Saturday 21 September 2013

naluri



  Sebelum lahirnya aku ke dunia, aku acap kali mendengar suara mereka. Hari demi hari, aku semakin tahu bahawa kehadiran aku sangat dinanti-nantikan untuk melengkapkan lagi pokok pimpinan seorang bapa. Aku sangat berharap agar aku mampu menggembirakan hati mak, ayah dan abangku saat aku wujud di dunia kelak.
   Tapi harapanku hanya sebuah angan-angan kerana aku tak mampu mengingkari sebuah takdir dari Ilahi.


















 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI