Sunday 22 December 2013

Catatan Cinta Anakanda Bonda


akhirnya kumiliki =)

Kaki melangkah ke gedung MPH di Alamanda petang tadi tanpa berniat untuk membeli buku kerana semalam sudah ku berhabis wang di Chapter One, Mines. Tiba-tiba mataku terpandangkan naskhah catatan ini. Tanpa berfikir panjang, terus kubayar untuk memilikinya. 


Thursday 19 December 2013

Baru permulaan

Menjejakkan kaki ke menara gading menjadi impian sesiapa sahaja tetapi adakah semuanya faham akan tanggungjawab yang terpaksa dipikul? Apakah tujuan sebenar kita di universiti? Rata-ratanya akan menjawab, "belajar". Ya, belajar menjadi niat utama kita di sini. Laksanakan atau tidak? Itulah persoalannya. Tanyalah pada diri, masihkah ada keazaman dalam sanubari untuk merebut sebuah kejayaan?

Bagiku, universiti bukan hanya medium untuk aku menggenggam segulung ijazah tetapi di sini akan menjadi titik mula aku mencorak kehendakku. Kehendak yang tidak mampu aku laksanakan selama ini. Satu persatu impian silam akan aku kotakan di bumi UKM. 

Akan ku balajar membaca, membaca, dan membaca lalu menulis, menulis, terus menulis.

Lengkapkan kemahiran dengan seni mempertahankan diri.

Impian sejak di tingkatan 1 lagi, ingin membuka pusat perlindungan

Malaysia, nantikan jejakku !!!

Semoga mampu kujelajah negara lain

Semuanya akan bermula di sini.



Santun Melayu

Adat melayu itu indah tetapi acap kali dilabelkan kolot oleh generasi muda kini. Melayu sememangnya terkenal dengan sopan dan lenggok kiasannya. Pantang larang merupakan khazanah budaya dunia terbina daripada pengalaman hidup yang lalu. Pengalaman ini mendukung nilai yang tinggi kerana paling tidaknya ia dapat dijadikan panduan , pedoman atau contoh teladan dalam kehidupan. Ia juga merupakan "disiplin lisan" yang dipraktikkan oleh sebahagian besar masyarakat Melayu terdahulu.

Anak dara tidak boleh menyanyi di dapur, nanti bersuamikan orang tua. Sebenarnya pesanan ini untuk mengelakkan masakan hangus akibat leka menyanyi.

Jangan duduk di atas bantal kerana dipercayai boleh menyebabkan bisul. Ajaran sebegini diterapkan agar bantal tidak rosak dan tidak sopan jika kita duduk di atas sesuatu yang digunakan untuk melapik kepala.

















Tuesday 17 December 2013

Rasa Sayang Hei


Kesenian dalan bidang muzik tidak seharusnya dipandang remeh atau dipinggirkan. Sememangnya kita terpaksa mengakui muzik di era globalisasi kini semakin membawa kita kepada kelalaian dan jauh dari ajaran Islam tetapi dalam setandan pisang tidak semuanya buruk. Sejak kecil alunan muzik mengandungi seni kata yang mendukung nasihat juga pengajaran terutama bagi kanak-kanak. Pernahkah kita mendengar lagu "Rasa Sayang Hei", "Anak Itik Tok Wi", "Jong-jong Inai" dan "Wau Bulan"? Lagu yang penuh pesanan, adat dan budaya amat menghiburkan serta masih kekal hingga generasi sekarang. Jadi, hargailah seni warisan budaya kita tidak kira dalam bidang muzik, ukiran, tenunan mahupun penulisan.

Senam Beruang

Daerah itu menggamit kenangan juga mengukir memori baru dalam sejarah kehidupanku. Beberapa hari yang lalu aku menjejakkan kaki ke sempadan Melaka dan Negeri Sembilan buat pertama kalinya. Program 3 hari 2 malam di KM Chalet, Kuala Linggi, Melaka yang dikendalikan olehku berserta rakan-rakan berlangsung dengan jayanya.
Umum mengetahui senaman merupakan teknik memperolah kesihatan yang mantap. Pada fikiranku, senaman juga dapat mengurangkan tekanan terutama jika melakukan aerobik. Lagu kanak-kanak, "The Gummy Bear" menjadi pilihan kami untuk sesi senaman di tepian pantai.







                    


Monday 16 December 2013

hamparan nan biru


Di kala kita berduka, pernahkah Allah membiarkan kita terkapai-kapai? Tidak. Tanpa kita sedar, Dia sediakan alam yang indah untuk mengubati hati ini.
Sungguh, aku amat mencintai pantai dan lautan. Tataplah ia dengan keimanan.
Ayat 19 dan ayat 20 dari Surah ar-Rahman, mafhumnya :
 " Allah S.W.T telah menyediakan dua laut yang masin dan yang tawar serta sedap rasa airnya. Kedua-dua laut ini berhampiran dan bertemu, bersentuhan di permukaannya tetapi di antara keduanya itu ada halangan; di mana dengan kekuasaan Allah S.W.T, kedua-dua air tersebut tidak bercampur dan tidak bersatu."

Sejak dahulu aku mengimpikan astana idaman nan gah di tepian pantai agar aku bisa menjemput sinar mentari di pagi hari ke kamar peraduanku. In Syaa Allah.


Thursday 12 December 2013

sesuci kelopak nailufar


Acap kali muslimah diibaratkan mawar berduri tapi hati ini memilih teratai suci. Ia dilindungi oleh itu dan ini laksana punya pengawalnya tersendiri. Teguh teratai terpasak di bumi tapi sinarnya menampakkan seri. Dalam aku mengharungi kehidupan ini, teratai punya maksud tersembunyi. Walau sukar untuk kalian mengerti, tetapi itulah rahsia dan bisikan hati.

Wednesday 11 December 2013

syahadah

Kalimah ringkas yang pertama kupelajari sebelum aku mengingati rukun Islam dan rukun iman. Nampak mudah bukan? Tetapi adakah kita mengaplikasikannya? Sudahkah kita menghayatinya? Kadang kala syirik itu boleh berlaku tanpa sedar. Pernahkah kita takut kepada makhluk-Nya melebihi gentar terhadap Allah? Perbaharui syahadahmu setiap hari duhai teman.

Tatkala hujan mencurah ke bumi lalu menyebabkan banjir, kita mengeluh. Di saat hujan mendiamkan diri, jerebu mengelilingi mentari, kita berduka lalu merayu meminta hujan. Apakah yang kita mahukan? Sedarkah teman, dikala kita menyalahkan hujan, sebenarnya kita menyalahkan-Nya. Istighfarlah. Allah Maha Pengampun.

Monday 9 December 2013

Menjemput Hidayah

Masih segar di ingatanku saat pertama kali aku tetapkan niat untuk menunaikan solat fardhu tanpa meninggalkan walau satu waktu sekalipun. Detik hidayah itu bertandang, aku sedang mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK). Buku Fiqh kubaca sehelai demi sehelai kerana aku sangat mendambakan ilmu kerana pegetahuan yang kita miliki ibarat setitik air di lautan. Solat-solat sunat, solat jamak dan qasar telah terhimpun kemas di dalamnya. Tatkala itu aku melihat Islam agama yang mudah dalam perlaksanaan juga murah dengan ganjaran. Lalu, saat azan Zohor berkumandang, lekas sahaja aku solat tanpa perlu disuruh atau mengelat lagi. Petunjuk yang diterima itu kusambut dengan taubat dan hajat. Alhamdulillah. Ia kekal hingga kini.



Hilangnya Kayuhan



Sepuluh tahun yang lalu, basikal merupakan hiburan terindah bagiku. Tidak perlu internet, laman-laman sosial, pasaraya mahupun pantai-pantai nan indah. Cukup sekadar sebuah basikal yang dikongsi bersama abang hadiah pemberian jiranku. Aku bergilir-gilir dengan abang mengayuhnya. Hari Isnin giliran abang, Selasa giliran aku pula dan begitulah seterusnya. Nostalgia ini telah lama lupus dari ingatan sejak berpindah ke kampung ayah dan emak. Basikal tua itu juga entah ke mana jasadnya menghilang.

Thursday 5 December 2013

Alhamdulillah

   "Ya Allah, mana mak ni? Dari tadi aku telefon tapi hanya operator yang jawab," omelku dalam kerisauan.
   Kakiku tidak kenal erti lelah bergerak ke hulu dan ke hilir memikirkan keadaan keluarga di rumah. Nombor telefon ayah kudail pula tetapi situasi yang sama berulang lagi. Mesej kuhantar berulang-ulang pada keduanya. Malangnya tiada siapa yang membalas bagi mengurangkan kegundahan di hatiku.

   Setelah penat menanggung pelbagai persoalan yang berceracak di sanubari, aku mengambil langkah untuk bersangka baik bahawa mereka pulang ke kampung kami. Sememangnya di kampungku masih mundur dari segi perhubungan lalu menyukarkan maklumat disampaikan terutama ketika berlaku kematian ataupun kenduri-kendara.

   "Tapi selalunya kalau mak nak balik kampung mesti beritahu aku dulu," hatiku meningkah menjemput risau untuk bertandang.

   "Mungkin ada kecemasan," aku kembali bermonolog agar hatiku tenang.

   Setelah seharian aku tertanya-tanya dalam lembah kegundahan, tiba-tiba aku mendapat berita daripada ayah melalui laman sosialnya, Facebook.

   -"Kepada pihak yang berkenaan,hubungan terputus antara Taman Negara, Felda Sg.Retang dan Felda Padang Piol ke Jerantut kerana dinaiki air di Paya Garuk. talian telefon juga terputus sejak semalam terutamanya yang menggunakan Celcom. Harap semua pihak yang terlibat mengambil tindakan sewajarnya terutama kawan-kawan yang menjaga peperiksaan SPM di seluruh daerah Jerantut, khasnya di SMK Inderapura. Maaf, hubungan terputus terus. Hanya facebook sebagai talian hayat."-

   Ayat itu mengundang kelegaan juga kegusaran sekaligus di benakku. Keadaan banjir yang hebat di Pahang mengganggu ketenanganku tetapi sekurang-kurangnya aku tahu keadaan mereka sekarang.

   Alhamdulillah.

Air banjir jernih di Masjid Gambang

Aiskrim Plastik

   "Mak, nak aiskrim tu.." pintaku pada emak sambil telunjuk menuding ke arah pak cik yang memberhentikan motosikalnya di hadapan rumah jiran sebelah kanan kami.
   Wajah penuh pengharapan ku tadah di hadapannya agar niatku termakbul. Mak menoleh ke arahku yang berdiri di kirinya bersilih ganti dengan penjual aiskrim itu. Mungkin memikirkan kewajaran untuk membenarkan aku membeli aiskrim pada petang ini. Pergerakan tangan emak yang lincah merumput dan menggembur tanah di kawasan tanamannya terhenti seketika. Tetapi hanya sementara. Setelah kurang seminit, emak meneruskan kerjanya tanpa menghiraukan aku di sisi.
   "Mak..." suara rengekanku kembali kedengaran untuk menarik perhatiannya.
   "Semalam kakak dah makan aiskrim,kan? Tak elok makan makanan manis banyak sangat," pesannya pada kanak-kanak tujuh tahun ini.
   Setelah puas dipujuk, barulah aku mengalah dalam keterpaksaan. Menikmati aiskrim sememangnya menjadi kesukaanku sehinggalah sekarang.
   Buktinya?

   "Dila, aku teringin nak makan aiskrim tu.." kataku pada Adila saat bola mataku terarah pada peti aiskrim di kolej.
   "Ambillah. Hari ni aku belanja," balasnya.
   Tidak terperi gembiranya rasa hati tatkala lidah mencairkan perisa yang beku itu. Senyuman tersungging di bibir tak mampu dileraikan.
   "Kau ni macam budak-budak. Suka sangat makan aiskirim," omel Adila.
 
   Kadang kala aku seolah-olah masih berada di dunia kanak-kanak terutamanya apabila bergaul dengan teman-teman rapat serta ahli keluarga terdekat. Normal atau tidak bukan persoalannya asalkan aku bukan plastik.
 
 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI