Tuesday 21 October 2014

'Soft Launch' UKM di Angkasa (20 Oktober 2014

Monday 20 October 2014

Cuti-Cuti Malaysia

dua hari lepas, aku menghabiskan masa dengan kawan-kawan zaman sekolah rendah dan menengah. sangat-sangat berbeza dengan waktu sekolah dulu. semua ada minat yang baru. yang tak pernah aku sangka.
dari KTM Serdang, kami ke Art Sphere, The Atmosphere, Seri Kembangan.
tak terdaya nak pusing setiap bangunan mencari lukisan-lukisan. posing mana yang mampu sudah..
tak ramai orang kalau pergi dalam pukul 11 pagi..tapi kalau petang, makin ramailah pelawat yang datang. berebut nak bergambar dengan dinding-dinding seni nanti. kedai makan pun dekat. senang. penat bergambar, boleh pergi ke kafe Art Sphere tu atau ke kedai makan di bangunan berdekatan. The Atmosphere ni berdekatan dengan Giant.



lepas penat berphotoshoot di Art Sphere, kami ke Giant untuk solat Zohor. kawan tersayang mencadangkan untuk berkaraoke sebelum balik ke UPM. layankan sahaja. bukan selalu dapat spend time together. lagipun kami semua perempuan. lepas melalak sejam, bergerak ke UPM. rehat sampai pukul 6 petang. mulalah perjalanan ke Putrajaya. kami singgah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi. perlu tanggalkan kasut/selipar sebelum naik lif ke ruangan solat/ambil wudhuk. jangan bawa selipar terus. kotor nanti. jangan risau, selipar tak hilang. siap ada CCTV.


kami mengisi perut di restoran Sate Kajang, Taman Warisan Pertanian, Putrajaya. Tapi ingat, jangan order ikut kehendak macam kami. menu-menu kat situ sangat memikat selera. Ala Carte ada, roti john ada, dll. Harga yang berpatutan. kira mampu miliklah. =)




setelah kekenyangan melahap sate, kami ke Dataran Masjid Putrajaya. sangat ramai manusia bergembira di situ. kereta bersusun-susun. berlapis-lapis. almaklumlah, hujung minggu.
bagaikan kanak-kanak ribena kami bermain belon buih. maka ramailah kanak-kanak sebenar berkumpul sekeliling kami bergelak ketawa bermain buih-buih hasil tiupkan kami. =) .seronok! sangat comel. foreigners' children also there. lepas kembung pipi meniup belon, kami bermain roller skate. itulah kali pertama aku bermain kasut roda. dua kali terduduk. tapi aku rasa aku minat permainan tu. style and cool. cuma perlukan banyak latihan dan kesabaran. jangan takut jatuh macam aku. =) cuma tak bagus untuk anak-anak gadis kalau jatuh terhempap terduduk. bahaya pada rahim. tak comel pon ye jugak. malu. malu.




ni link utk belajar skating.
disebabkan malam masih muda, kami meneruskan sesi bergambar di Jambatan Putrajaya atau Jambatan Seri Wawasan. ia berlampu warna warni pada waktu malam. sangat cantik. ramai orang bertenggek di situ. port paling cool untuk bergambar adalah di tengah-tengah jambatan. dari jambatan tu, kita akan dapat lihat Masjid Putrajaya dan Masjid Besi. indahnya alam.


kami bertolak pulang ke UPM lebih kurang pukul 11 malam. hari yang sangat meletihkan. tapi seronok!


Friday 3 October 2014

luar biasa manusia

pelajar nerd?
asyik menghadap buku sahaja?
tidak aktif ko-kurikulum?
tidak mempunyai softskills?

BENARKAH?

manusia itu dianugerahkan dengan pelbagai kebolehan dan sudah semestinya mereka mempunyai minat masing-masing. kalau dipaksa seseorang yang cenderung kepada jahitan dan sulaman melakar seni bina sebuah rumah, manakan mungkin sesempurna rekaan orang yang meminati seni bina.
jangan dipaku minat seseorang mengikut sistem buatan manusia. jika di universiti, walau tidak dipaksa untuk menyertai pelbagai aktiviti, mahasiswa pasti tidak menghadap buku 24/7. mereka akan cari sesuatu yang digemari sebagai aktiviti. juga, di zaman kanak-kanak, jangan didesak hati anak kecil untuk mengikut kehendak hati orang tua. ya, orang tua mana yang inginkan anaknya gagal, tidak punya masa depan dan sebagainya. tetapi, ada cara lain selain memaksa dan mendesak.

dunia kini, sering dikhabarkan ibu bapa membanding-bandingkan keputusan anak-anak mereka dengan jiran tetangga, rakan sekerja juga sanak saudara. pasti mereka mahu anak-anak rasa tercabar dan meningkatkan semangat persaingan sihat mereka agar lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran. tetapi, dari satu sudut lainnya, anak-anak rasa tertekan dan semua itu mengganggu emosi mereka. sifat tidak suka dibanding-bandingkan pasti ada. mereka merasa, setakat itu sahaja kemampuan mereka, usah dipaksa lagi. ada juga anak yang berasa malu dengan keputusan mereka yang rendah bila dicanang pada jiran sekampung. ada yang berasa tinggi diri apabila berjaya dan diraikan berlebih-lebihan. tidak salah usaha meningkatkan semangat dalam diri anak-anak tetapi harus diingat juga, satu maklumat akan mendatangkan penerimaan yang berbeza mengikut sifat masing-masing.

anak yang tidak meminati bidang akademik tidak semestinya kurang bijak. mereka ada keistimewaan lain. berbincanglah. kenali kehendak dan skill mereka. pasti kita akan terkejut bila mengetahuinya. sedangkan robot dicipta untuk pelbagai guna. inikan pula manusia. mengapa perlu dibentuk dengan rupa dan saiz yang sama? kelainan membuatkan kita istimewa.

jangan malu andai anak hanya tahu membaiki jam tangan sedangkan buta ilmu sains dan matematik, jangan dihina dia yang tahu berkebun di belakang rumah tetapi malas mendalami pelajaran akaun, jangan dipandang enteng mereka yang suka ilmu-ilmu persilatan walhal kelam subjek geografi.

manusia itu tidak sempurna tetapi istimewa. tanpa ijazah seseorang itu boleh menjadi usahawan berjaya, dan tanpa ijazah juga seseorang itu menadah berduka. siapa yang memandu arah, siapa yang mengemudi, itu soalnya. kenali diri, penuhkan yang lompong hari demi hari, moga jitu peribadi, membantu membangun ibu pertiwi.

Friday 26 September 2014

Entah betul, Entahkan salah

ada cerita yang ingin aku ukirkan...
siti : kak, saya nak buat luahan perasaan ni. saya tak ada kawan nak cerita pasal ni

kakak : ceritalah...

siti : tadi saya borak2 dgn budak lelaki tapi saya tak mengada-ngada. saya cakap macam biasa saja. tiba-tiba kawan saya cakap saya gedik sebab layan lelaki bercakap. tak kan saya nak buat tak tahu sebab saya nak promosi barang2 yang saya jual. saya ni peniaga.

kakak : kenapa kawan awak cakap mcm tu? awak ada bertepuk tampar ke dgn budak2 lelaki tu? gelak tak ingat dunia ke, cakap manja2 ke...

siti : tak ada kak. saya cakap mcm orang buat promosi la. biasa je. lepas tu saya ingat nak letak meja makan dekat kedai saya. nanti kalau pelanggan beli apa-apa kat kedai saya, diorang boleh makan-makan2 dekat situ. diorang rasa nak lagi, boleh tambah terus.

kakak : bagus tu. boleh rehat2 juga

siti : itulah. tapi kawan saya ckp nanti lelaki lepak kat situ ramai2.

kakak : eh, apa salahnya. pelanggan juga. awak bukan duduk2 dengan diorang.

siti : entahlah akak. saya pun tak tahu apa yang betul apa yang salah.

kakak : akak pun tak pandai sgt hal2 mcm ni. apa yang awak rasa baik, awak buatlah. doalah pada Allah agar dijauhi fitnah.

siti : satu lagi kak, saya ni minat dgn sukan tapi saya tak ada kawan perempuan yang minat sukan nak ajak main sama2. saya ingat nak lepak kat padang, tengok2 kalau ada kawan yang saya boleh kenal. tapi tak ada kawan nak teman saya pergi padang. diorang semua cakap saya gedik sebab gatal2 nak pergi tengok lelaki main. saya bukan nak menggatal. saya nak buat apa yang saya suka buat.

kakak : akak bukan tak nak teman tapi akak pun bukan minat sukan2 ni. akak rasa awak jadi diri awak je. buat apa yang awak suka tapi jgn berlebihan. bila sekali awak buat2 mcm awak tak suka apa yang awak suka,  nanti awak akan terus-terusan menipu terutamanya tipu diri awak sendiri. selagi benda yang awak buat tu tak salah, buatlah. bila kita kenal ramai orang, kita akan jumpa macam2 perangai manusia ni. kita tak boleh buat semua orang untuk suka kita. jadi diri sendiri je.

Thursday 18 September 2014

Cinta Baginda

Kita sudah kerap kali mendengar kisah Nabi Muhammad S.A.W yang sering mengingati umat baginda walaupun di saat baginda hampir wafat. "Ummati, ummati, ummat.." kata Baginda S.A.W. Apabila kita mendengar ceramah pada Hari Maulidur Rasul, rasa cinta pada Nabi bertambah 100%. Tetapi, mengapa ia berkurang 20% setiap hari? Dan kadangkala menjadi -30%? Umat siapakah kita? Syafaat siapa yang akan kita minta di Padang Mahsyar nanti? Allah!!!! Hinanya aku. Jauhnya aku dari mengingati kekasih-Mu. Sungguh aku terpersona dengan dunia. Teman-teman, masih belum terlambat untuk kita mengingati Baginda dalam kehidupan ini. ayuh perbaiki peribadi. Mungkin kita tak mampu menjadi sempurna, menjadi malaikat, menjadi suci tetapi berusahalah untuk sentiasa berselawat keatasnya juga menyampaikan pesan pada yang lain. Moga amal ini berpanjangan.

Saya tak pandai bercerita, tontonlah video ini agar kalian merasai apa yang saya rasai.

http://www.youtube.com/watch?v=WZs3OIS9XNk




Wednesday 17 September 2014

sambutan 16 Sept

Bagaimana sambutan Hari Malaysia? Gembira? Teruja? Meningkatkah semangat patriotik kalian? Bagaimana kalian menghabiskan cuti umum itu? Bersama teman-teman atau keluarga?
Saya sarankan untuk anda membawa keluarga tersayang melawat tempat-tempat menarik atau bersejarah di negara kita. Bukan hanya dapat menambah ilmu pengetahuan, bahkan dapat mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga dan meningkatkan semangat patriotik dalam diri anak-anak. Sebagai contohnya, muzium (terutamanya Muzium Negara), zoo (terutamanya Zoo Negara), Tugu Negara, Masjid Negara dan sebagainya.

Tempat yang paling saya gemari semenjak menuntut di Bangi ialah Masjid Putra, Putrajaya. Sudah tidak terkira berapa kali diri ini menjejakkan kaki ke sana. Sungguh damai dan menenangkan terutamanya pada waktu petang dan malam. Kita dapat melihat keluarga-keluarga bahagia yang bermain pelbagai permainan di situ. Menaiki Cruise Tasik Putrajaya dan bot Dondang Sayang memberikan pengalaman yang amat bermakna juga dapat mengutip sedikit pengetahuan mengenai bangunan-bangunan di sekitarnya. Dinasihatkan juga untuk menggunakan kad matrik bagi pelajar IPT kerana ada discount. =). Disitulah tempat saya menghilangkan tekanan juga mencari ketenangan.

Cruise Tasik Putrajaya

bot Dondang Sayang


Tempat kedua ialah Zoo Negara. Jika ingin melawat panda, sangat dialu-alukan.



ini petanya. http://www.zoonegaramalaysia.my/map.html

layari http://www.panomatics.com/nextgen/my/zoonegara/004/  untuk maklumat lanjut.

Saya telah meluangkan masa lebih kurang 3 jam untuk melawat zoo tersebut secara sepintas lalu. Jika ada yang berminat dengan haiwan, bolehlah datang daripada pagi hingga ke petang. Tapi, harus ingat juga, parking berbayar. =) . happy holiday !!

Tuesday 16 September 2014

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA

selamat menyambut Hari Malaysia !!
ucap, ucap juga..hayati atau tidak?
secara ringkasnya, perayaan ini adalah simbol penyatuan dan perpaduan.
selain hari raya sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia merupakan detik-detik yang amat saya nantikan..
walaupun saya tidak berarak berkawad di dataran, saya menghargai penat lelah rakyat Malaysia yang bersusah payah menjayakan hari tersebut..
paling saya nantikan adalah detik menyanyikan lagu-lagu patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang..
saya harap, perayaan yang ke-60 nanti, saya berkesempatan meraikannya di dataran bersama orang ramai. Amin..

 ilmu untuk dihayati :
http://www.arkib.gov.my/web/guest/penubuhan-malaysia-16-september-1963



Sunday 14 September 2014

simboliknya bahagia

pernahkah kalian menonton drama korea "Panda and Hedgehog" yang dilakonkan oleh Lee Donghae dari Super Junior?
drama itu mengetengahkan kisah kasih sayang sebuah keluarga dan persahabatan yang sangat erat meskipun saling tidak mengenali. Ia memberikan inspirasi kepada saya untuk menulis entri kali ini.
Berkisahkan seorang pembuat kek yang berbakat, ikhlas mencipta kek demi sebuah kebahagiaan. kek yang comel mengikut pilihan dan citarasa pelanggannya.





pernahkah kita melihat kek dijadikan simbol kedukaan? tidak pernah bukan?
ya, kek merupakan simbolik kegembiraan. menyambut hari lahir, perkahwinan, juga ulangtahun pernikahan kita. indah sekali rasanya menjadi seorang pembuat kek. menzahirkan kebahagiaan dalam bentuk kek untuk dinikmati insan-insan yang gembira.

psikologi kita

Seorang ayah sering kali terlupa di mana kunci kereta/motor dan telefon bimbitnya. Di mana dia duduk, di situlah tempat letaknya. Pabila pergi, dia pasti lupa untuk mengambilnya kembali. Si ibu mulalah berleter kerana poket seluar Sang Ayah mampu memuatkan barang-barang itu. Mengapa tidak digunakan?

Sang Ayah mula mengambil inisiatif agar barangnya tidak hilang lagi. Lalu, dia meletakkan telefon dan kunci di tempat yang mudah dilihat pada pendapatnya.

Keesokan paginya, Sang Ayah kelam kabut untuk ke tempat kerja. Dia mencari di mana kunci kereta dan telefon bimbitnya. Dia telah mengingati di mana tempat terakhir dia duduk sebelum ke bilik tidur, tetapi barangnya tiada di situ. Setiap tempat yang biasa dia duduk juga tidak ada.

Dia terlupa di mana dia telah letakkannya pada waktu kritikal itu. Sedangkan dalam keadaan normal, dia berasa tempat letak barang itu terlalu mudah untuk dijumpai. PSIKOLOGI.   

poligami

POLIGAMI???
satu kata yang mampu membuat seorang wanita yang tabah, berkaliber, cantik dari segala sudut juga berkerjaya jatuh terduduk pabila mengalaminya. Di dunia ini, isteri mana yang sudi dipoligami? Meskipun dijanjikan dengan payung emas di syurga kelak. Tapi, sakitnya bermadu tiada tandingannya. Orang kata, kalau kita tidak merasai pahit manisnya bermadu, jangan suka-suka menilainya pada pandangan mata kasar kita. Hanya yang terpilih mampu memahaminya dan menceritakan perjalanan kisah mereka. Indahkah? Suramkah? Suka? Atau duka? Pastinya sunnah Nabi yang satu itu penuh barakah jika dilaksanakan mengikut ajaran Islam.

Di sini saya tidak akan menyentuh banyak mengenai poligami menurut Islam kerana itu bukan bidang saya. Bimbang menyimpang pula maklumat nanti.

Jika kita tonton drama-drama Melayu, acap kali isteri pertama dianiaya dan isteri kedua menjadi watak protagonisnya. Isteri pertama terpikat pada "charming"nya seorang suami yang gigih mencari rezeki untuk keluarga tetapi isteri kedua melihat "charming"nya seorang suami yang punya banyak wang. Hanya pandangan dangkal saya sahaja yang mampu saya coretkan. pastinya setiap yang berlaku ada asbab dan hikmahnya.

Allah mensyariatkan poligami sebagai jalan penyelesaian dalam masalah rumah tangga bukannya jalan untuk menambahkan lagi masalah rumah tangga. Andai sang suami mampu dan adil, lalu menginginkan poligami, dalamilah agama dahulu agar langkah kalian tidak terpesong.


Hijab Makes You Beautiful - Official Music Video (What Makes Yo...

Friday 12 September 2014

HHHC 9801


Thursday 28 August 2014

niat

6 Ogos 2014

Sejak akhir-akhir ini, aku acap kali dikunjungi mimpi-mimpi yang seolah-olah bercerita kepada ku. Adakah ini suatu petanda bahawa ia datang sebagai ilham agar aku kembali menulis? Bukan niat ku untuk berhenti menulis tetapi aku tidak mampu membentuk keyakinan diri bahawa aku boleh berkarya. Aku tak yakin akan ada orang yang berminat untuk membelek karya ku nanti.

Ya. Aku tidak perlu menulis untuk orang lain menyukainya. Betulkan niat.
Tapi… aku masih tercari-cari karya bagaimana yang ingin aku ketengahkan, yang ingin aku rangkapkan dalam imej tulisan. Aku belum cukup ilmu untuk menyampaikan mesej dari hati ini ke hati pembaca. Takut tak sampai utusan kata ku itu. Lain jadinya nanti. Aku tertarik untuk membahaskan soal agama secara logik tetapi isu agama sangat sensitif untuk diketengahkan oleh insan yang kurang ilmu seperti aku. Meskipun setiap pilihan dalam hidup ini pasti ada risikonya, aku takut. Takut hati yang rapuh ini mudah pecah berderai andai terjadi sesuatu. Sungguh, aku paranoid. Ku akui. Aku takut akan kegagalan. Sangat takut. Kata orang “gagal sekali bukan bererti gagal selamanya”. Tapi, aku tak sanggup untuk gagal, walaupun sekali.  


Lihat. Berapa banyak alasan yang ingin aku persembahkan kerana takutkan kegagalan. Sampai bila? Sampai bila aku perlu membuang waktu untuk melenyapkan ketakutan yang tak wajar ini?  Ibarat pepatah “kalau tidak dipecahkan ruyung, bila akan dapat sagunya?”.  Tulislah. Walau apa pun keadaannya nanti. Tulislah.
Lagipun, aku rasa hal-hal agama aku akan catatkan pada blog sahaja. Bukan untuk dizahirkan dalam mana-mana kisah. Aku juga lebih selesa untuk menulis sesuatu dalam bentuk pandangan dari pelbagai aspek atau hanya pemerhatian zahirku sahaja. Amat sukar untukku mereka sebuah cerita yang tidak aku rasai, tidak aku jiwai memandangkan aku sudah lama tidak menulis puisi yang memerlukan sepenuh tumpuan hati nurani. Jadi, cukuplah jika hanya serangkap komentar dari insan kerdil ini yang ingin mengukir bisikan hati. 





Umi

4 OGOS 2014

Semalam aku berziarah ke rumah kenalan sempena Aidilfitri di FELDA kelahiranku. Aku ke rumah umi. Saat bersalaman dengannya, aku teringin sekali memeluk dan cium dia tapi entah kenapa anggota badan ku menolak untuk berbuat begitu. Lalu aku melepaskan peluang itu untuk merasai pelukan umi. Aku hanya duduk berdiam diri. Masih memikirkan kewajaran untuk aku memeluk umi. Kenapa hatiku sangat menginginkannya tetapi aku tak mampu melaksanakan kehendak itu? 

Hidangan di meja tidak melambai selera ku untuk menjamah walau secubit tetapi demi menjaga hati umi yang bersungguh-sungguh mempelawa aku makan, aku ambil juga sejenis kuih raya untuk dikunyah.

Setelah menjamah kuih yang terhidang, mata ku menangkap imej semangkuk besar mihun goreng. Rindunya aku. Teringin sekali lidah ini menikmati mihun goreng masakan umi. Meskipun yang terhidang itu mungkin buatan menantunya, tidak mengapalah. Asalkan masih masakan insan di sekeliling umi. Aku menikmati rasanya di setiap suapan. Dari sisi mata aku perasan umi memerhatikan setiap gerak-geri ku. Entah apa yang difikirkannya.

Filem-filem memori aku bersama umi membuka layar di minda bersama setiap suapan. Alangkah indahnya saat itu. Tetapi ingatan zaman kanak-kanak terlalu kabur bagi ku. Aku yakin umi pasti mengingati lebih banyak memorinya ketika bersama ku. Alangkah indah jika aku dapat mendengar semua kisah itu. Aku mahu tinggal di situ sehari dua untuk menjaga umi lalu mendengar kisah-kisahnya tetapi aku takut aku gagal menjaga umi malah menyusahkan pula nanti. Lagipun tanggungjawab ku pada keluarga masih belum sempurna.

Aku berehat sebentar sesudah menghabiskan mihun tadi. Tersentak sayu hatiku tatkala melihat keadaan umi yang hanya terduduk lemah di atas kerusi roda. Suaranya juga kurang jelas apabila dia mempelawa aku tadi. Tidak seperti umi yang aku kenal dahulu. Dia yang tangkas melakukan kerja-kerja pengurusan sekolah, berkejar-kejar dengan murid-muridnya yang tidak pernah tahu duduk diam, suaranya lantang mengajar setiap huruf serta nombor agar mereka jadi manusia berpelajaran dan dia yang percaya dengan setiap kebolehan aku. Tanpa dia, tak mungkin aku berjaya seperti ini. Dia yang memperkenalkan abjad jawi dan rumi padaku, dia yang mencungkil bakat-bakat ku, dia menanam rasa yakin dalam diriku untuk berani di atas pentas, dia mengajar ku untuk menjadi ketua di kalangan rakan-rakan ku, dan dia juga yang memujuk ku jika menangis setelah bergaduh dengan kawan-kawan sepermainan ku. “Terima kasih umi sebab membentuk saya dengan baik.”

Tetapi, tidak lama selepas itu, umi menyuruh ku makan lagi. Aku menolaknya dengan mengatakan aku sudah makan. Tidak sampai lima minit selepas itu, umi memujuk ku untuk makan lagi. Lirih suaranya. Aku akur. Bimbang juga jika hatinya terguris dengan penolakan ku.

Sewaktu hendak pulang, aku bersalaman lagi dengan umi dan sekali lagi peluang itu ku lepaskan. Meskipun mungkin ini peluang terakhir, aku tak mampu melaksanakan tuntutan hati nan satu ini. Ruginya. Hati kecil ku mengharapkan masih ada ruang, masa dan kekuatan untuk aku merasai pelukan insan yang ku sayang itu. Ingin ku bisik di telinganya rasa terima kasih yang tak terhingga. Tak dapat aku membayar jasa-jasanya walau dengan wang ringgit. “Umi, didikan yang umi bagi sudah sempurna untuk saya menjadi seorang manusia berguna. Andai umi dapat melihat kecacatan yang saya sembunyikan dari mata orang lain, itu bukan salah umi. Saya yang salah kerana mementingkan nafsu. Maafkan saya,”.


Detik ini aku belajar satu perkara. Tugas ibu bapa dan guru tidak banyak bezanya. Malah ibu bapa lebih banyak berkorban dalam mendidik kita. Oleh itu, aku perlu berbakti pada mereka sebelum aku berbakti pada guru ku. Guru terlihat sempurna sedangkan dia juga manusia kerana kita bersamanya hanya seketika. Tetapi kekurangan ibu dan bapa, kita pertikaikan sedangkan mereka juga manusia kerana mereka sentiasa bersama kita.    


Sunday 27 April 2014

permulaan

semalam merupakan hari pertama aku memungut ilmu mengenai produk Herbalife. aku pergi hanya untuk memberikan semangat kepada rakan sekolah menengahku dahulu yang kini semakin aktif menjual produk tersebut. aku juga ingin mengkaji serba sedikit bagaimana sistem mereka berfungsi, misi dan visi mereka. Hebat! satu kata yang dapat menjelaskan segalanya. aku berniat untuk membantu insan tersayang dalam usaha menurunkan berat badannya. sebelum aku mempromosikan produk itu kepadanya, aku perlu mengkaji lagi, lagi dan lagi. lalu aku membuat keputusan untuk membeli tiket bernilai RM35 untuk ke The Everly Hotel Putrajaya bagi menggali sebanyak mungkin ilmu. betul, tujuanku untuk menilai sejauh mana hebatnya mereka. semakin dinilai, tidak semua yang dicipta manusia itu sempurna. hanya Allah Yang Maha Kuasa. jadi, aku kembali kepada tujuanku untuk membantu insan terdekat denganku. tutup dahulu kelompongan itu. lihat dahulu hasilnya nanti.

Tuesday 18 March 2014

draf

Alhamdulillah
syukur pada-Mu Ya Allah, Ya Latif, Ya Rahman, Ya Rahim..
musibah serta ujian menjengah berkunjung mengetuk iman..
nafsu menguasai akal tetapi hidayah-Nya masih sudi menyapa..
Syukran Ya Rabb..
Kasih sayang-Mu sentiasa menanti meski aku sering mendahului kasih pada ciptaan-Mu..

nukilanku masih dalam proses 'draf'..
entah ke mana akan dihantar..masih dalam pertimbangan..
moga jalan menggapai impian dipermudahkan..
amin....

Monday 6 January 2014

20 mutiara


ASSALAMUALAIKUM


salam mulia pembuka usia
moga iman kukuh di jiwa
moga nafsu berkuasa tiada
moga amal bertambah berganda

salam mulia melambai masa
usah terus menabur kata
ayuh juang tingkat usaha
agar hayat tidak tersia

salam mulia indah bercahaya
pohan diri kekal terpelihara
meski dasar buas bergelora
tetap teguh bak mutiara




officially 20

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI