Thursday, 28 August 2014

niat

6 Ogos 2014

Sejak akhir-akhir ini, aku acap kali dikunjungi mimpi-mimpi yang seolah-olah bercerita kepada ku. Adakah ini suatu petanda bahawa ia datang sebagai ilham agar aku kembali menulis? Bukan niat ku untuk berhenti menulis tetapi aku tidak mampu membentuk keyakinan diri bahawa aku boleh berkarya. Aku tak yakin akan ada orang yang berminat untuk membelek karya ku nanti.

Ya. Aku tidak perlu menulis untuk orang lain menyukainya. Betulkan niat.
Tapi… aku masih tercari-cari karya bagaimana yang ingin aku ketengahkan, yang ingin aku rangkapkan dalam imej tulisan. Aku belum cukup ilmu untuk menyampaikan mesej dari hati ini ke hati pembaca. Takut tak sampai utusan kata ku itu. Lain jadinya nanti. Aku tertarik untuk membahaskan soal agama secara logik tetapi isu agama sangat sensitif untuk diketengahkan oleh insan yang kurang ilmu seperti aku. Meskipun setiap pilihan dalam hidup ini pasti ada risikonya, aku takut. Takut hati yang rapuh ini mudah pecah berderai andai terjadi sesuatu. Sungguh, aku paranoid. Ku akui. Aku takut akan kegagalan. Sangat takut. Kata orang “gagal sekali bukan bererti gagal selamanya”. Tapi, aku tak sanggup untuk gagal, walaupun sekali.  


Lihat. Berapa banyak alasan yang ingin aku persembahkan kerana takutkan kegagalan. Sampai bila? Sampai bila aku perlu membuang waktu untuk melenyapkan ketakutan yang tak wajar ini?  Ibarat pepatah “kalau tidak dipecahkan ruyung, bila akan dapat sagunya?”.  Tulislah. Walau apa pun keadaannya nanti. Tulislah.
Lagipun, aku rasa hal-hal agama aku akan catatkan pada blog sahaja. Bukan untuk dizahirkan dalam mana-mana kisah. Aku juga lebih selesa untuk menulis sesuatu dalam bentuk pandangan dari pelbagai aspek atau hanya pemerhatian zahirku sahaja. Amat sukar untukku mereka sebuah cerita yang tidak aku rasai, tidak aku jiwai memandangkan aku sudah lama tidak menulis puisi yang memerlukan sepenuh tumpuan hati nurani. Jadi, cukuplah jika hanya serangkap komentar dari insan kerdil ini yang ingin mengukir bisikan hati. 





No comments:

Post a Comment

sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI