Tuesday 15 September 2015

The Ramadan Story (1)


      Assalamualaikum.
      Walaupun Ramadan sudah lama meninggalkan kita, aku masih nak update entri catatan bulan puasa aku. =P

            Catatan hari ke-10 Ramadan
Hari ni sudah genap 10 hari umat Islam menjalankan ibadah puasa. Alhamdulillah, sudah lepas fasa Ramadan yang pertama iaitu kerahmatan. Sudah khatam beberapa buah buku yang dibeli pertengahan sem dahulu antaranya Diagnosis2, Cukup Derita Itu, Street Vandetta, Suami Bukan Malaikat Isteri Bukan Bidadari dan Begini, Sayang!. Alhamdulillah, buku-buku tersebut ada memberi sedikit sebanyak pencerahan kepada diri ini mengenai kehidupan. Seperti yang kita tahu, buku Diagnosis2 ditulis oleh doktor-doktor yang hebat dalam menyampaikan mesej-mesej berguna kepada masyarakat seperti jangan terlalu bergantung kepada bomoh berbanding rawatan di hospital dan kepentingan menghormati ibu bapa. Tajuk yang menyentuh minta dan hati saya adalah Typoglycemia dan Motivasi Terhebat Sepanjang Zaman tulisan Dr. Anwar Fazal dan Norad karya Dr. Aizat. Saya amat berharap karya sebegini dapat diteruskan untuk membuka minta masyarakat dengan nasihat  ringkas, padat dan berkesan.

Gambar ambil dekat Google Image. Thanks untuk tuan punya gambar.


Buku "Suami Bukan Malaikat, Isteri Bukan Bidadari" yang ditulis oleh Mohd Hisham Mohd Sharif dan Hasifah Zainudin pula menceritakan pengalaman penulis bersama beberapa orang rakan mereka serta anak-anak mereka dalam menangani fitrah cinta dan rumah tangga. Buku tersebut terbahagi kepada empat bahagian iaitu manual pranikah, manual cabaran rumah tangga, manual tarbiah anak-anak dan manual hubungan dengan ibu bapa. Banyak nasihat dan teladan yang dapat saya pelajari antaranya :
i)                    Jika pihak lelaki tidak berkemampuan untuk mengadakan majlis perkahwinan yang gah, berbincanglah dengan pihak perempuan untuk memudahkan perkahwinan. Usah tunggu cukup duit dahulu baru berkahwin. Dengan berbincang, mungkin belanja perkahwinan dapat ditanggung bersama atau jumlah hantaran dapat dikurangkan dan mengadakan kenduri dengan skala yang lebih kecil. Rancanglah perbelanjaan bukan hanya untuk majlis perkahwinan tetapi untuk kehidupan setelah majlis selesai.

ii)                  Kita tidak pernah tahu kita sudah bersedia atau tidak untuk melangkah ke alam perkahwinan kerana kesediaan itu perlu dicari bukan di nanti. Seperti kita mengulang kaji pelajaran, kita hanya tahu kita mahir tajuk tersebut atau tidak apabila berhadapan dengan  soalan yang berkaitan dan menjawab soalan peperiksaan. Dengan kata lain, tidak perlu menunggu segala-galanya sempurna untuk mendirikan masjid.

iii)                Jangan terburu-buru dalam membina rumah tangga. Pastikan mendapat redha ibu bapa sebelum berkahwin. Mintalah pada Allah jodoh yang terbaik, bukan yang sempurna segala-galanya.

iv)                Istikharah bukan bermaksud mendapat mimpi apa yang patut dipilih, tetapi ia jalan Allah menyampaikan petunjuk agar kita lebih yakin dan tenang dengan jalan yang dipilih.

v)                  Tidak salah untuk perigi mencari timba tetapi risiklah dulu agamanya, sudah berkahwin atau belum dan kesediaannya untuk berumah tangga. Lalu, lakukan istikharah dan fikirlah cara untuk menyampaikan hasrat hati kepadanya. Sampaikan hasrat melalui orang ketiga yang telah berkahwin dan berserah pada Allah.

vi)                Kehidupan berumah tangga adalah sesuatu yang tidak dapat kita jangga. Kita sememangnya boleh merancang arah dan matlamat rumah tangga tetapi jangan terlalu bermimpi kerana ada masanya rumah tangga akan menjadi medan ujian buat kita.

vii)              Janganlah berasa cemburu melihat anak-anak orang lain hingga membandingkan anak mereka dengan anak kita kerana anak-anak adalah cerminan ibu bapa. Setiap anak ada potensi diri masing-masing dan potensi itu perlu digilap sesuai dengan kemampuan. Bertanyalah pencapaian anak orang lain yang cemerlang untuk belajar kaedah efektif dalam mendidik anak-anak. Tiada cara yang spesifik dalam mendidik anak kerana setiap manusia itu diciptakan berbeza-beza.

viii)            Dekati anak sebagai kawan agar mereka lebih memilih kita sebagai tempat meluahkan perasaan, berbual, berbincang dan bergurau berbanding rakan-rakannya. Tanpa masa yang berkualiti dengan mereka, yakinkah suatu hari nanti mereka akan melayan kita waktu sudah tidak berupaya?

ix)                Pada usia bayi - 7 tahun, tuntutan kasih sayang. Usia 8 – 14 tahun, tuntutan  arahan dan disiplin. Usia 14 – 21 tahun, tuntutan rakan karib.

x)                  Biasakan anak-anak untuk meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa dan asingkan tempat tidur anak-anak apabila mereka sudah pandai meniru kata-kata dan perbuatan ibu bapa agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

xi)                Dalam menangani masalah antara memilih isteri dan ibu, suami mestilah mempunyai pendirian dan ilmu yang cukup agar hati ibu tidak terguris dan isteri rasa disayangi.

Gambar buku ini pun aku ambil di Google Image. Thanks. 



Moga catatan ini membantu para remaja yang dahagakan ilmu. =D

No comments:

Post a Comment

sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI