Thursday, 5 December 2013

Alhamdulillah

   "Ya Allah, mana mak ni? Dari tadi aku telefon tapi hanya operator yang jawab," omelku dalam kerisauan.
   Kakiku tidak kenal erti lelah bergerak ke hulu dan ke hilir memikirkan keadaan keluarga di rumah. Nombor telefon ayah kudail pula tetapi situasi yang sama berulang lagi. Mesej kuhantar berulang-ulang pada keduanya. Malangnya tiada siapa yang membalas bagi mengurangkan kegundahan di hatiku.

   Setelah penat menanggung pelbagai persoalan yang berceracak di sanubari, aku mengambil langkah untuk bersangka baik bahawa mereka pulang ke kampung kami. Sememangnya di kampungku masih mundur dari segi perhubungan lalu menyukarkan maklumat disampaikan terutama ketika berlaku kematian ataupun kenduri-kendara.

   "Tapi selalunya kalau mak nak balik kampung mesti beritahu aku dulu," hatiku meningkah menjemput risau untuk bertandang.

   "Mungkin ada kecemasan," aku kembali bermonolog agar hatiku tenang.

   Setelah seharian aku tertanya-tanya dalam lembah kegundahan, tiba-tiba aku mendapat berita daripada ayah melalui laman sosialnya, Facebook.

   -"Kepada pihak yang berkenaan,hubungan terputus antara Taman Negara, Felda Sg.Retang dan Felda Padang Piol ke Jerantut kerana dinaiki air di Paya Garuk. talian telefon juga terputus sejak semalam terutamanya yang menggunakan Celcom. Harap semua pihak yang terlibat mengambil tindakan sewajarnya terutama kawan-kawan yang menjaga peperiksaan SPM di seluruh daerah Jerantut, khasnya di SMK Inderapura. Maaf, hubungan terputus terus. Hanya facebook sebagai talian hayat."-

   Ayat itu mengundang kelegaan juga kegusaran sekaligus di benakku. Keadaan banjir yang hebat di Pahang mengganggu ketenanganku tetapi sekurang-kurangnya aku tahu keadaan mereka sekarang.

   Alhamdulillah.

Air banjir jernih di Masjid Gambang

No comments:

Post a Comment

sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI