Saban tahun umat Islam meraikan dua perayaan penting iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Berdasarkan hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, mafhumnya "Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, sedangkan mereka sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah S.A.W bertanya : Hari apakah dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda: Sesungguhnya Allah S.W.T telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas).
Di hari barakah ini, aku mencuri masa sejenak untuk menghayati watak-watak di sekitarku. Tetapi, semakin ku renung dalam kehidupan masyarakat dewasa ini, mereka seolah-olah menyambutnya tanpa jiwa, pengertian serta penghayatan. Aidilfitri yang sepatutnya menjadi hari kemenangan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadan manakala Aidiladha merakam erti pengorbanan dan ketaatan dalam menunaikan perintah-Nya terlihat seolah-olah jasad tanpa roh. Adakah sama adat dan ibadat?
Alangkah rugi jika amalan yang dijanjikan pahala berlipat kali ganda itu hanya dilaksanakan sekadar ikut-ikutan, tidak diiringi dengan nawaitu kerana Allah. Malah, ia semakin sia-sia jika perintah tersebut diselitkan rasa riak,takbur dan ujub. Sebagai pencerahan, kita mengenakan baju fesyen terkini yang kelihatan mewah di hari lebaran. Terdetik di hati alangkah cantiknya diri ini lalu bermegah-megah dengan apa yang dimiliki. Bila nafsu menguasai, sunnatullah tertinggal di sisi. Justeru, luruskan niat dalam beribadah duhai teman.
No comments:
Post a Comment
sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D