Tuesday, 8 October 2013

Aku perlukan perwira

Tika ini cahaya matahari kelihatan berbilah-bilah di celahan tingkap. Aku hanya menjenguk apa khabarnya angin di luar lalu di danau mataku terarca imej teman-teman yang bersedia menongkah dugaan hari ini. Seperti kebiasaannya, benakku ditimbuni ayat untuk dijadikan entri kali ini.
6 Oktober 2013 aku mendapat informasi yang menjemput rasa syukur dari kolam hatiku. Balu Allahyarham ASP Zulkifli bin Mamat telah selamat melahirkan seorang hero. Alangkah beruntungnya kita, pejuang Lahad Datu meninggalkan seorang bakal perwira. Berantai doa dikalung rakyat Malaysia semoga langkah bapanya menjadi ikutan. Hatiku turut berbisik mengirimkan pesanan buat 'adik'.

Tiba-tiba jemalaku didatangi segugus persoalan. Sampai bila keamanan ini akan berkekalan? Esok, lusa atau sepuluh tahun lagi kita yang tentukan. Semakin ku renung nasib tanah kita, semakin aku lihat kedaulatan yang terapung ternganga. Imaginasiku membelah kerelaan hati. Terbayang olehku tanah kita menadah bantuan dan kita bukan lagi tuan. Nauzubillah.

Dari tinggiku separas pinggang bonda, benih patriotik subur dalam jiwa. Darahku berkobar-kobar setiap kali datangnya sambutan ambang merdeka. Acap kali teman seperjuangan menyindir mengata semangatku tapi aku adalah aku. Sukar ku bendung rasa ini kerana kami sebati juga sejiwa.

Di sini ku sertakan lagu dalam Bahasa Inggeris yang melaungkan bisikan hati ini bahawa negara perlukan perwira yang sentiasa bersiap sedia dan bukan hanya pandai menutur kata sehingga bergegar dewan samudera.




No comments:

Post a Comment

sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI