Wednesday 2 October 2013

Impian Buat Ibu

"Kakak buat apa ni?" suara yang mendodoi tidurku menyapa lembut.
   Tapak tangan keibuannya membelai lembut rambutku. Masih tak lekang senyuman dari bibirnya menanti jawapanku yang sedang asyik bermain dengan jarum dan benang. Dia bersimpuh di sisiku.
"Kakak nak jahit baju anak patung," jawabku ringkas.
   Jari jemari halusku terkial-kial mengemudi jarum di atas lembaran kain perca biru itu. Kain,jarum,benang dan gunting ku ambil dari simpanan emak semata-mata untuk melihat patung kura-kura ku mempunyai baju seperti aku.
"Cantiknya kakak jahit. Belajar dari mana?" pujian diberi oleh si ibu menyegarkan bunga di taman hatiku.
"Kakak selalu nampak mak jahit baju. Betul ke cantik mak?" soalku kembali inginkan kepastian.
   Mak menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Aku semakin bersemangat untuk menghasilkan rekaanku.
"Hati-hati guna jarum tu," pesan mak.
   Matanya masih pegun melihat kerjaku. Barangkali risau aku tercedera.
"Okay,mak. Kakak kan dah besar," kataku bangga kerana tinggal beberapa hari lagi aku akan menjejakkan kaki ke sekolah rendah pula.
"Bila kakak dah besar nanti kakak nak jadi tukang jahit ke?" mak masih ingin berbual denganku.
   Aku terdiam. Neuron otak kanak-kanakku semakin aktif mencari jawapan yang sesuai.
"Taklah," gelengku lalu meneruskan jahitan.
   Dahi emak berkerut untuk memahami maksudku.
"Bila dah besar kakak nak jahitkan baju untuk mak pula. Mak dah banyak jahitkan baju kakak,"sambungku lagi lalu riba wanita agung itu menjadi persinggahan tubuhku.
   Mak mendakapku erat.


"Hoi, berangan!" sergah Adila.
   Lamunanku tersentak dari kotak ingatan tetapi hangatnya dakapan seorang ibu masih terasa. Aku hanya tersenyum. Apabila melihat hasil jahitanku hari ini, aku tahu cita-cita zaman kanak-kanakku masih belum tertunai.




    Aktiviti Bicara Siswa: Belajar Jahitan Asas
    27 September 2013
                                                                                                                   

4 comments:

sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI