Thursday 7 January 2016

Tuisyen Rakyat : Dari Rakyat Kepada Rakyat


Hai! Hari ni aku nak kongsikan maklumat tentang perjuangan beberapa orang nak muda dalam mengendalikan tuisyen secara percuma yang dipanggil Tuisyen Rakyat. Diharapkan perkongsian ini dapat membuka minda anak-anak muda untuk lebih peka dengan persekitaran dan membantu masyarakat dengan kemampuan yang ada.


Petikan dari Facebook Page Tuisyen Rakyat :

Sedikit latar belakang Tuisyen Rakyat dan pengalaman.

Pertamanya, kami bukan daripada mana-mana persatuan ataupun gerakan. Jawatan pun tiada, kami hanyalah marheinis. Hanyalah sekumpulan anak muda yang tiada apa-apa nak dibuat sewaktu cuti semester. Ia hanyalah sebuah idea yang terkeluar dikedai kopi. Kami tak ramai pun sekitar 7 orang sahaja pada awalnya. 

*Kini ada juga di beberapa tempat Tuisyen Rakyat berjalan dalam waktu semester.

Kami sebulat suara setuju dengan idea ini memandangkan realiti semasa dan tempat (Jerantut) kami yang memerlukan pendidikan tambahan percuma. Setelah bersetuju dengan idea Tuisyen Rakyat, kami mulakan gerak kerja untuk mencari tempat operasi, mencari sukarelawan dan mempromosi kepada orang ramai.

Sepanjang bulan Ramadhan kami mencetak iklan berbentuk tazkirah poket untuk diedarkan. Kami edarkan di bazar Ramadhan, di car-bootsale mingguan, masjid dan surau. Hebahan di media sosial itu dah pasti kami buat.

Kami ada juga buat banner, berbekalkan cat hitam dan kain putih. Kami gantung banner 'homemade' kami sekitar kawasan yang berdekatan tempat tuisyen kami.

Alhamdulillah melalui hebahan tersebut ramai juga yang menghubungi kami untuk menjadi sukarelawan. Akhirnya semua sekali sukarelawan yang sudi menjadi tenaga pengajar ada sekitar 25 orang. Boleh dikatakan 80% daripada kami bukanlah mahasiswa jurusan pendidikan dan perguruan.

Kemudian kami mencari tempat operasi. Mujur, dengan izin tuhan ada hamba Allah yang mempunyai dewan kecil (di Batu Embun, Jerantut) dalam perkarangan rumahnya sudi meminjamkan secara percuma kepada kami, termasuk bil elektrik dan air untuk menjalankan Tuisyen Rakyat.

Murid dan pelajar kebanyakannya datang walk-in. Pada minggu pertama hanya sedikit saja dan kemudiannya semakin bertambah saban hari. Sehingga ada satu ketika tak muat dewan kecil kami guna tu. Berhimpitlah sikit.

Alat bantuan mengajar? Alat tulis? Dapat daripada mana? Kami berkongsi duit sesama kami untuk beli barang-barang mengajar, buku, duit minyak etc. Tiada siapa taja pun, duit PTPTN/Biasiswa yang berbaki dan simpanan sendirilah yang menjadi modal.

Tapi setelah tuisyen ini berjalan, ada jugalah pihak-pihak tertentu yang sudi menyumbangkan barang seperti papan putih, sumbangan wang tunai dan alat tulis untuk mengurangkan beban kami. Alhamdulillah.

Kami mengadakan tuisyen ini pada Isnin hingga Khamis, pada jam 8-10 malam. Tuisyen ini terbuka kepada murid darjah satu hinggalah pelajar tingkatan 5. Kami tak buat kelas berdasarkan subjek tetapi kami bantu melalui kerja sekolah adik-adik kemudian pelajar/murid sendiri boleh memilih nak belajar subjek / topik apa.

Sehingga hari terakhir, kami ada sekitar 70 orang pelajar yang hadir ke tuisyen kami. Alhamdulillah, selama hampir 1 bulan setengah ni macam-macam kami belajar: jadi guru, memahami murid & pelajar, menyelami susah-senang ibubapa nak dapatkan akses pendidikan tambahan percuma, luahan marheinis etc.

InsyaAllah kami akan meneruskan Tuisyen Rakyat ini setiap kali cuti semester.

Pada masa yang sama, dihujung minggu kami ada juga turun ke sekolah pedalaman untuk memberikan khidmat tuisyen percuma. Biasanya pada hari Sabtu.

Ketika semester masih berjalan, ada diantara kami yang menggerakkan Tuisyen Rakyat berdekatan universiti masing-masing, Tuisyen Rakyat Pulau Pinang misalnya.

Buat masa ni, kami menggelarkan diri kami dan bergerak sebagai Team Anak Muda Progresif (TAMPOR).

Sekarang, kami sudah ada projek kedua yang dalam proses untuk dilaksana; Perpustakaan Rakyat. Doakan kami! Moga coretan pengalaman ini menjawab pertanyaan sahabat semua. 

Wallahualam

 

Setakat hari ini, Tuisyen Rakyat ada di Jerantut, Pahang dan Pulau Pinang. 
Untuk maklumat lanjut, KLIK TUISYEN RAKYAT

Semoga bermanfaat. Doakan anak-anak muda ini mampu laksanakan projek mereka. Amin. InsyaAllah.

2 comments:

  1. wahh... bagus idea najwa & kengkawan...
    Di kuantan, takde ke.. progam "tuisyen rakyat"..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bkn idea Sya. Idea kawan. Sya tlg sebarkan info je. Setakat ni ada dkt dua tmpt tu je

      Delete

sangat dialu-alukan komen yang positif dan membina =D

 

ALL RIGHT RESERVED BY NAJWA ZAHID|THIS BLOG IS DESIGN BY RRAI